Cabaran untuk Misi: Berdoalah kepada Bapa untuk Menghantar Penuai |
Cabaran untuk Misi: Berdoalah kepada Bapa untuk Menghantar Penuai Posted: 12 Dec 2013 08:13 AM PST "Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 'Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian'" (Matius 9:37-38, BM). Secara manusiawi, pelayanan misi merupakan suatu panggilan TUHAN yang mustahil untuk dilakukan. Ada lebih ramai lagi orang yang belum mengenal Tuhan Yesus secara peribadi sekarang berbanding dengan 50 tahun dahulu (tahun Jubli bagi Malaysia) walaupun banyak usaha telah dilakukan. Apakah penyelesaian bagi masalah ini? "Duit!" jawab seseorang. "Marilah kita mengumpul duit sebanyak yang boleh bagi tujuan penginjilan di seluruh Malaysia dan dunia." "Pekerja!" jawab seorang lagi. "Jika kita ada pekerja yang cukup, kita boleh menggenapi Amanat Agung untuk generasi sekarang." Tidak, saudara-saudariku di dalam Kristus, ini bukan caranya TUHAN bekerja. Walau betapa pentingnya duit atau pekerja itu, ia tidak mampu untuk melakukan panggilan-Nya. Baca Firman ini sekali lagi: "Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit". Inilah masalah sebenar yang kita perlu tahu – pekerjaan yang sangat besar tetapi bilangan pekerja yang tidak mencukupi. Sungguh sedih, kan? Jangan bimbang, kita masih ada harapan. Firman Tuhan Yesus tidak terhenti di situ. Puji TUHAN, Dia ada penyelesaian bagi masalah ini. Dia berfirman lagi: "Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian". Berdoalah! Kita sebenarnya sudah ada ramai penuai atau pekerja (ini termasuk saya dan kamu juga), tetapi 'pekerja' yang ada sekarang kebanyakkannya pemalas, tidak taat kepada perintah Amanat Agung dan kemungkinan besar juga tidak mengenal Tuhan Yesus secara peribadi. Mereka tidak tahu apakah misi mereka sebenarnya dan isi hati TUHAN terhadap orang yang belum mengenal-Nya. Mereka belajar banyak tentang teologi Kristian & doktrin Alkitab dan penuh dengan idea untuk melakukan aktiviti-aktiviti sosial atau kebajikan tetapi langsung tidak peduli akan keperluan rohani orang yang belum mengenal Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat mereka. Sebab itulah, walaupun kelihatan seperti ramai pekerja, sebenarnya "penuai hanya sedikit". Oleh itu, "Berdoalah kepada [TUHAN] supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian"! Kita perlu berdoa supaya pekerja sebenar, yang komited, yang benar-benar mengasihi Tuhan Yesus, yang dipenuhi oleh Roh Kudus, yang terbeban dengan isi hati Bapa yang disyurga – akan bangkit dan bekerja diladang TUHAN. Merekalah (saya berharap kamu termasuk di dalam golongan ini) yang akan diberkati dan memberkati beribu-ribu, berjuta-juta orang lain! Kita ada jalan penyelesaiannya: berdoa. Berdoalah kepada TUHAN, Dia pasti akan menghantar pekerja yang sebenar. Ini ialah rahsia pelayanan misi yang mesti kita lakukan – "BERDOALAH!". "Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku" (Yesus Kristus, Matius 28:19, BM) THINK BIG. START SMALL. GO DEEP. |
Cabaran untuk Misi: Melihat Dunia dengan Mata Yesus Posted: 11 Dec 2013 10:47 PM PST "Kamu berkata, 'Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.' Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai!" (Yesus Kristus, Yohanes 4:35, BM) Ramai orang Kristian tidak menpunyai visi atau pengetahuan atau beban terhadap orang yang belum mengenal Tuhan Yesus. Oleh itu, saya melihat banyak pembaziran yang dilakukan untuk membina gereja yang besar dan cantik dan untuk membeli peralatan-peralatan teknologi yang canggih (dalam skala yang berlebihan) sementara pada masa yang sama ramai lagi orang di luar sana tidak pernah atau berpeluang langsung untuk mendengar Berita Baik tentang Yesus Kristus. Jika kita benar-benar melihat dunia seperti mana mata Yesus melihat, kita tidak mungkin akan membazirkan wang atau harta benda kita untuk batu-bata, konsert-konsert, persembahan hiburan semata-mata – tetapi untuk menjangkau jiwa-jiwa yang hilang bagi Yesus. Marilah kita melihat! Melihat ke arah yang jarang kita lihat melalui mata Yesus. Memandang ke arah "ladang yang sudah menguning" di Sarawak, Sabah, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, China, India, Indonesia, Thailand, Timor Leste dan sebagainya. Marilah kita mendengar Firman Yesus dan merasa beban-Nya terhadap orang yang belum mengenal-Nya: "Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai!" Pernahkah kamu memandang ladang yang sudah "siap untuk dituai" di rumah-rumah panjang di pendalaman negeri Sabah dan Sarawak atau penduduk-penduduk orang asli di semenanjung Malaysia atau rakan-rakan di kolej dan universiti dan tempat kerja atau di komuniti tempat kamu tinggal? Jadi kamu tahu apa maksud Firman Yesus itu. Betapa beratnya beban Yesus kepada mereka dan betapa segeranya keperluan rohani yang mereka perlukan sekarang! Ramai orang yang belum mengenal TUHAN yang hidup telah dirantai oleh peraturan-peraturan dan undang-undang agama, tradisi manusia yang membebankan, kepercayaan nenek moyang dan tipu muslihat Iblis – memerlukan Penyelamat iaitu Yesus Kristus dengan segera sekarang. Kenapa? Sebab ladang yang sudah menguning harus dituai cepat sebelum ia tidak tumbuh lagi dan mati untuk selama-lamanya. Begitu juga dengan ladang di dalam jiwa setiap manusia. Generasi sekarang hanya boleh menjangkau generasi sekarang. Oleh itu, kita harus menjangkau jiwa untuk generasi ini dengan segera. Jika pekerja-pekerja Tuhan tidak bekerja dengan cepat dan segera, jika kita tidak menggunakan peluang sementara masa masih ada, "ladang yang sudah menguning" sekarang – generasi sekarang – akan hilang selama-lamanya. Sekarang mungkin ialah peluang terakhir untuk kita menunjukkan kepada Tuhan Yesus betapa kita mengasihi Dia. Ada diantara kita yang sedang membaca blog ini mungkin tidak akan mempunyai peluang yang lama. "Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa" (Yohanes 9:4b). Bagi kebanyakkan kita pula "hari masih terang" (9:4a). Ada sesetengah orang daripada kita masih lagi hidup untuk diri sendiri sahaja. Dan sekarang tahun untuk dia hidup sudah semakin singkat. Sehingga sekarang dia masih lagi belum menunjukkan kasihnya kepada Yesus dengan melakukan sesuatu yang benar-benar bernilai bagi-Nya. Hey orang Kristian, marilah kita bangkit dan pergi menuai jiwa-jiwa untuk Yesus! Peluang terakhir untuk kita berbuat begitu akan hilang tidak lama lagi. Dengan nama Allah Bapa, Yesus Kristus dan Roh Kudus bukakanlah matamu dan "pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai!" "Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku" (Yesus Kristus, Matius 28:19, BM) THINK BIG. START SMALL. GO DEEP. |
You are subscribed to email updates from Word Speaks Today To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 comments:
Post a Comment